Manifesto Pakatan Rakyat Negeri Sembilan

0 comments | Read more...
Manifesto Pakatan Rakyat Negeri Sembilan





“Pakatan Rakyat Prihatin Rakyat” - Tonggak Nan Sembilan

Tonggak 1: Rakyat Itu Tuan

1.0 Pentadbiran dan Kewangan Awam

1.1 Mewajibkan Menteri Besar dan Ahli EXCO mengisytiharkan harta.
1.2 Menguruskan kewangan Negeri secara berhemat dan memastikan tiada ketirisan dan pembaziran dalam belanjawan Kerajaan.
1.3 Mengamalkan sistem tender terbuka bagi perolehan dan projek pembangunan sektor awam.
1.4 Menubuhkan Badan Semak dan Tara untuk meningkatkan keamanahan, ketelusan, kebertanggugjawaban dan membasmi rasuah.
1.5 Menangani kerenah birokrasi dan campur tangan politik dalam pentadbiran awam supaya urusan rakyat dengan jabatan dan agensi kerajaan mudah, cepat, telus dan tanpa rasuah dan pilih kasih.
1.6 Mendemokrasikan pemilihan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan membuka mesyuarat PBT kepada orang ramai.
1.7 Mendemokrasikan pemilihan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK).
1.8 Mewujudkan “Enakmen Kebebasan Maklumat” bagi memberi akses kepada rakyat mendapatkan maklumat awam.

**********
Tonggak 2: Rakyat Nan Senang dan Sejahtera

2.0 Ekonomi

2.1 Membangunkan ekonomi secara seimbang, mewujudkan peluang pekerjaan dan merapatkan jurang pendapatan.
2.2 Mengutamakan projek dan kegiatan ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat secara langsung.
2.3 Membangunkan sektor perumahan dan komersial sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Negeri.
2.4 Membangunan sektor pertanian dengan penekanan kepada pengeluaran makanan, industri pemprosesan makanan dan penyelidikan dan pembangunan pertanian.
2.5 Memajukan tanah terbiar termasuk tanah pusaka adat.
2.6 Meningkatkan pelaburan langsung dalam sektor industri dengan menawarkan pakej insentif pelaburan seragam kepada pelabur dalam dan luar negara.
2.7 Menggalakkan pembangunan sektor industri kecil dan sederhana.
2.8 Mempromosi Negeri Sembilan sebagai destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa.
2.9 Meningkatkan prestasi syarikat-syarikat milik kerajaan Negeri.

**********
Tonggak 3: Rakyat Nan Bertelapak

3.0 Tanah dan Perumahan

3.1 Menukar tanah tempat kediaman milik pajakan (leasehold) kepada milik kekal (freehold).
3.2 Memberi milik kepada pemegang tanah TOL (kecuali rizab jalan, sungai dan seumpamanya) yang telah diusahakan atau diduduki selama 25 tahun ke atas.
3.3 Menjamin tidak menaikkan kadar cukai tanah dan cukai taksiran selama 5 tahun.
3.4 Mensasarkan setiap keluarga memiliki sebuah rumah kediaman mampu milik.
3.5 Memperkasa dasar penggantian tanah rizab Melayu yang diambil kerajaan.
3.6 Melindungi kepentingan dan kedudukan Orang Asal.

**********
Tonggak 4: Rakyat Nan Berilmu

4.0 Pendidikan

4.1 Mewujudkan skim bantuan pendidikan bagi memastikan setiap anak warga Negeri Sembilan mendapat pendidikan sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat SPM.
4.2 Memberi bantuan secara sistematik kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah-sekolah tinggi persendirian.
4.3 Memberi sumbangan sebanyak RM1,500 kepada pelajar yang berjaya mengikuti ijazah pertama dan RM1,000 diploma di IPTA dan IPTS yang diiktiraf.
4.4 Menjadikan Negeri Sembilan hub pendidikan utama di wilayah selatan Semenanjung.

**********
Tonggak 5: Rakyat Nan Berakhlak

5.1 Islam dan Pendidikan Islam

5.1.1 Memperkemas sistem pungutan dan agihan zakat sebagai satu instrumen pembasmian kemiskinan.
5.1.2 Memperkemas pentadbiran wakaf.
5.1.3 Meningkatkan peruntukan kewangan tahunan untuk hal ehwal agama Islam.
5.1.4 Menggalakkan masyarakat Islam menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat.
5.1.5 Menggalakkan penglibatan ahli qariyah dalam memilih AJK Masjid masing-masing.
5.1.6 Mengembangkan sistem pendidikan sekolah agama rakyat (SAR) secara sistematik.
5.1.7 Melanjutkan pendidikan KAFA sehingga ke sekolah menengah.
5.1.8 Menaikkan elaun guru KAFA kepada RM1,000 sebulan dan memberi elaun RM250 sebulan kepada guru Al Qur’an.

5.2 Agama-Agama Lain

5.2.1 Mewujudkan portfolio hal ehwal bukan Islam.
5.2.2 Memberikan peruntukan tahunan kepada badan-badan induk agama bukan Islam.
**********
Tonggak 6: Rakyat Nan Aman dan Mencintai Alam

6.1 Keselamatan, Jenayah, Gejala Sosial

6.1.1 Memperkasa mekanisma penguatkuasaan undang-undang dan peraturan keselamatan bagi membendung jenayah dan gejala sosial.
6.1.2 Menambahbaik sistem pencahayaan dan sistem keselamatan di tempat-tempat yang kerap berlaku jenayah.
6.1.3 Memberi insentif kepada majikan menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pekerja wanita yang berkerja syif malam bagi menjaga keselamatan mereka.
6.1.4 Penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap perbuatan merosakkan kemudahan dan harta awam.

6.2 Alam Sekitar

6.2.1 Menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang tidak mengizinkan apa jua pembangunan dijalankan selagi kajian impak alam sekitar dan sosial belum dikemukakan.
6.2.2 Menguatkuasakan undang-undang dan peraturan berkaitan pembuangan sisa industri bagi mencegah pencemaran sungai, tasik, laut, persekitaran dan udara.
6.2.3 Menghijaukan persekitaran dengan mewujudkan banyak taman bunga di taman-taman perumahan dan menanam pokok-pokok di sepanjang jalan raya.
6.2.4 Menjaga kebersihan persekitaran bandar, kampung, kawasan perumahan di estet-estet dan kawasan Felda.
6.2.5 Memulihara rizab hutan simpan, hutan perlindugan hidupan liar, kawasan tadahan air, taman-taman hutan lipur dan rizab hutan bakau di kawasan persisiran pantai.

**********
Tonggak 7: Rakyat Nan Selesa

7.0 Infrastruktur dan Kemudahan Awam

7.1 Memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih berkesan untuk penduduk bandar dan luar bandar.
7.2 Meningkatkan mutu jalan-jalan raya di seluruh Negeri Sembilan.
7.3 Menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di seluruh Negeri Sembilan dan memastikan mutu air sentiasa tinggi.
7.4 Membina dewan komuniti dan taman rekreasi dan memasang lampu jalan di taman-taman perumahan dan kampung-kampung tradisi, kawasan perumahan estet dan kawasan Felda.
7.5 Mewujudkan zon akses kepada internet secara percuma di seluruh Negeri Sembilan.

**********
Tonggak 8: Wanita di Martabatkan, Rakyat Nan Muda Disayangi, Nan Dizalimi Dibela dan Nan Tua Disantuni

8.1 Wanita dan Keluarga

8.1.1 Menyediakan kemudahan penjagaan anak di jabatan-jabatan dan agensi kerajaan dan menggalakkan majikan sektor swasta menyediakan kemudahan yang sama.
8.1.2 Menubuhkan dana usahawan wanita bagi membantu wanita menceburkan diri di dalam perindustrian dan perniagaan.
8.1.3 Memperkenalkan waktu kerja anjal bagi kaum wanita di sektor awam supaya wanita yang bekerja tidak mengorbankan kesejahteraan keluarga.
8.1.4 Memastikan kaum wanita diwakili di dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
8.1.5 Memberi bantuan tahunan RM 500 kepada ibu-ibu tunggal yang layak.
8.1.6 Memberi 7 hari cuti ehsan kepada pekerja sektor awam yang kematian pasangan.
8.1.7 Membuka akaun tabungan permulaan RM100 bagi setiap kelahiran bayi.

8.2 Anak Muda

8.2.1 Menyuburkan semangat sukarelawan, khidmat masyarakat dan suka menjelajah di kalangan anak muda.
8.2.2 Mengadakan projek usahawan muda bagi menggalakkan anak muda menceburkan diri dalam perindustrian dan perniagaan.
8.3.3 Mewujudkan pusat perniagaan dan kebudayaan untuk anak muda.
8.2.4 Memastikan anak muda diwakili di dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
8.2.5 Meningkatkan akses kepada kemudahan-kemudahan sukan milik kerajaan untuk kegunaan anak muda.
8.2.6 Meningkatkan pembangunan sukan.

8.3 Peneroka Felda

8.3.1 Menyokong cadangan mengagihkan tanah Perladangan Felda Sdn. Bhd. kepada generasi kedua peneroka.
8.3.2 Mempercepatkan pengeluaran geran hakmilik tanah kepada peneroka yang telah melunaskan hutang kepada Felda.
8.3.3 Menyokong usaha Felda membina rumah mampu milik di kawasan Felda untuk generasi kedua peneroka.
8.3.4 Bekerjasama dengan Felda menyediakan program pendidikan agama kepada anak-anak peneroka.


8.4 Kebajikan

8.4.1 Memperkasa sistem bantuan kebajikan kepada golongan sasar (warga emas, fakir miskin, golongan berpendaptan rendah, golongan tidak bernasib baik dan orang kurang upaya).
8.4.2 Memberi sumbangan tahunan RM100 kepada warga emas.
8.4.3 Menyediakan InsuranTakaful Kifalah Berkelompok secara percuma kepada warga emas (manfaat kematian RM2,500 akan dibayar kepada waris).
8.4.4 Memberi bantuan pakaian seragam sekolah bernilai RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga yang berpendapatan bulanan RM1,500 ke bawah.
8.4.5 Memastikan persekitaran dan prasarana yang akrab OKU di bangunan kerajaan dan menggalakkan sektor swasta menyediakan kemudahan yang sama di premis masing-masing.
8.4.6 Menggalakkan majikan di sektor awam dan swasta memberi pertimbangan istimewa kepada OKU di dalam pengambilan pekerja.
8.4.7 Kerajaan Negeri memberi sumbangan tetap, tertakluk kepada kemampuan kewangan, kepada badan-badan bukan kerajaan yang menjalankan aktiviti kebajikan.

**********
Tonggak 9: Rakyat Nan Berbudaya dan Beradat

9.0 Seni Budaya dan Adat

9.1 Merakyatkan seni budaya setiap kaum.
9.2 Menubuhkan Perbadanan Pembangunan Tanah Adat bagi membangunkan tanah adat yang terbiar.
9.3 Menaikkan elaun Datok Lembaga Adat kepada RM1,000 sebulan dan memberi elaun sebanyak RM250 sebulan kepada Buapak-Buapak.
9.4 Menubuhkan sebuah institusi bagi memperkasakan adat perpatih.

Perbezaan Pas dan Umno

0 comments | Read more...
Undang-undang dan Negara

PAS: Menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya dan menerima secara syumul.

Umno: Tidak menjadikan Islam dasar perjuangan. Mereka lebih mendukung dasar nasionalis Melayu (Asabiyyah Melayu). Mereka hanya menerima sebahagian ajaran Islam dan menolak sebahagiannya.

PAS: Menjadikan al-Quran, Sunnah, al-Ijma' dan al-Qiyas sebagai hukum yang tertinggi. Dasar ini bukan sahaja dilaksanakan di peringkat parti tetapi di peringkat negara sekiranya ia berkuasa.

Di mana al-Quran, al-Sunnah, Ijma' dan Qiyas akan dijadikan undang-undang tertinggi negara, mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan sumber di atas maka ia dengan sendirinya terbatal setakat mana yang ia bercanggah.

Umno: Tidak menjadikan al-Quran, Sunnah, Ijma' dan qiyas sebagai sumber perundangan negara.

Mereka mendukung Perlembagaan ciptaan manusia yang jelas meletakkan sumber tersebut di bawah perlembagaan, bahkan kiranya hukum al-Quran atau Sunnah bercanggah dengan Perlembagaan maka hukum al-Quran dan Sunnah dikira batal setakat yang ia bercanggah (Perlembagaan Perkara 4(1).

Sebagai contoh merotan 100 rotan orang berzina seperti yang ditetapkan oleh al-Quran tidak dibenarkan oleh Perlembagaan kerana Perlembagaan hanya menentukan hukum yang berbeza, iaitu denda, penjara atau disebat enam rotan.

PAS: Berjuang untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan hukum Islam di dalamnya. Perjuangan ini telah berterusan sejak lebih 50 tahun lalu.

Umno: a) Umno tidak memperjuangkan penubuhan negara Islam. Sungguhpun di dalam Perlembagaan memperuntukkan "Islam sebagai agama Persekutuan" ia bukan bererti Malaysia sebagai negara Islam. Ia tetap sebagai negara sekular.

Perkara ini telah ditegaskan oleh pemimpin Umno pada masa negara mula mencapai kemerdekaan di dalam menghuraikan maksud perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia.

b)Umno berusaha menggagalkan setiap kerja untuk mewujudkan kerajaan Islam. Apa yang dilakukannya ke atas kerajaan Kelantan sudah cukup sebagai bukti.

PAS: Berusaha melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan rakyat Islam umumnya menerima rancangan ini.

Umno: Berusaha menggagalkan rancangan ini dengan pelbagai alasan termasuk alasan Perlembagaan tidak membolehkan perlaksanaannya. Di samping menuduh ia hudud PAS, dan tidak sempurna. Bila diajak muzakarah mereka menolak.

PAS: Menerima hukum Islam secara keseluruhan sama ada ibadat muamalat, jenayah, kehakiman dan kenegaraan.

Umno: Menerima hukum Islam pada sudut-sudut tertentu sahaja seperti ibadat khusus dan sebahagian hukum muamalat yang lebih mendapat keuntungan pulangan ekonomi. Dan penerimaan mereka juga bermusim dengan berpandukan kepada reaksi dan sikap umat Islam.

Umno dan PAS dalam menangani perkara halal-haram

PAS: Mendukung tuntutan al-Quran berhubung dengan dasar Amar Makruf dan Nahi Mungkar. Sikap PAS ini adalah berpunca dari dasarnya yang menjadikan al-Quran, Sunnah, Ijma dan qiyas sebahagai sumber undang-undang.

Sumber-sumber di atas begitu jelas memberi hukum qati tentang larangan ke atas perkara mungkar. Larangan ke atas arak, judi, berzina dan berbagai jenis kemungkaran telah dinyatakan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Ayat-ayat al-Quran berhubung dengan Amar Makruf dan Nahi Mungkar begitu banyak di antaranya Al Imran: 104, 110, 114, al-Maidah, 79, Al-Araf: 157, Al-Taubah: 67, 71, 112, An-Nahl 90.

Ayat yang berhubung dengan zina, An-Nur: 2 menuduh zina:4. Ayat yang berhubung dengan rompakan Al-Maidah: 33. Ayat yang berhubung dengan pengharaman arak dan judi, Al-Maidah: 90. Kesemua ayat-ayat di atas secara qati' (tanpa dipertikaikan) menegaskan bahawa perlaksananya adalah wajib.

Selain dari itu terdapat hadith yang mutawatir tentang larangan dan hukuman ke atas peminum arak dan murtad juga beberapa hadith yang melarang amalan mungkar yang hukumnya dijalankan melalui ta'zir.

Sebahagian dari undang-undang yang berkaitan telahpun dilaksanakan di Kelantan dan sebahagian lagi belum boleh dilaksanakan kerana halangan dari kerajaan BN Pusat.

Umno: Hanya melaksanakan dasar amar makruf tidak nahi mungkar. Kalau ada pun mereka telah mengubah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah.

Mereka tidak berminat untuk mengubah hukum buatan manusia kepada hukum Allah bagi perbuatan mungkar diatasnya. Yang anehnya undang-undang lain lebih-lebih lagi untuk tujuan membolot kuasa dan kekayaan yang lebih banyak mereka tidak jemu-jemu memindanya.

Umno menghalalkan judi dan tempat perjudian dengan syarat mendapat lesen dari kerajaan. Judi hanya haram kalau dikendalikan tanpa lesen. Malaysia hari ini dikenali dunia sebagai tempat judi yang ketiga terbesar di dunia.

Umno membenarkan pembinaan kilang arak dan membiarkan jualannya tanpa sekatan. Bilangan rakyat yang menjadi penagih arak kian meningkat di negara ini.

Umno menolak hukum hudud terutama bagi kesalahan mencuri dan berzina. Oleh itu kita dapati jenayah mencuri kian meningkat dan perbuatan zina serta membuang anak luar nikah jauh kian menjadi-jadi. Apa yang lebih mendukacitakan kebanyakan mereka yang terlibat adalah dari kalangan umat Islam.

UMNO membenar dan memberi laluan yang luas kepada pengusaha tempat-tempat hiburan. Tempat-tempat hiburan telah tumbuh seperti cendawan di seluruh negara termasuk bandar-bandar kecil.

Dasar ini telah mewujudkan suasana yang tidak sihat di dalam masyarakat yang sekali gus berlakunya keruntuhan moral di kalangan rakyat terutama di kalangan remaja.

UMNO mendukung dasar amalan riba. Sungguh pun Bank Islam dan kaunter muamalat Islam diperkenalkan dikebanyakan bank, ia tidak bererti mengharamkan riba kerana dasar kewangan negara masih menjunjung dasar riba. Kalau mereka ikhlas mereka sepatutnya menjadikan semua Bank Islam sebagai tempat simpanan wang kerajaan Pusat, negeri dan semua agensi kerajaan. Tetapi apa yang berlaku adalah jauh api dari panggang. Kerajaan PAS Kelantan sungguhpun tidak menubuhkan Bank Islam telah membuat dasar supaya semua wang kerajaan di simpan di Bank Islam.

Pengagihan kekayaan negara adalah mengikut ajaran Islam.

PAS: Memperjuangkan arahan al-Quran supaya kekayaan negara diagihkan secara adil di kalangan rakyat. Firman Allah: "Janganlah harta beralih tangan hanya di antara orang kaya di kalangan kamu." (maksud ayat al-Hashr:7)

Umno: Tidak beramal dengan dasar ini di mana sudah menjadi pengetahuan umum bahawa para pemimpin Umno dan golongan kapitalis yang bersekongkol dengan mereka telah merebut peluang untuk menguasai kekayaan negara dengan pelbagai cara sama ada halal mahupun haram. Amalan ini adalah berpunca dari fahaman mereka bahawa Islam mahu orang Islam maju dalam ekonomi barulah dihormati. Anggapan ini adalah salah kerana hanya mencari rezeki secara halal yang dibenarkan oleh Islam.
PAS: Memperjuangkan supaya harta orang kaya diberi kepada orang miskin sama ada secara wajib (zakat) atau sunat (hadiah atau anugerah). Rasulullah bersabda: "Ambillah harta orang kaya di kalangan mereka untuk diberikan kepada orang miskin di kalangan mereka."

Umno: Mengamalkan dasar sebaliknya terutama ditahun-tahun kebelakangan ini di mana harta orang miskin telah diambil untuk diberikan kepada golongan kaya, atas alasan pembangunan ekonomi. Tindakan Umno ini dapat dilihat bagaimana tanah rakyat diambil untuk diberi kepada usahawan dari dalam dan luar negeri. Apa yang pasti rakyat miskin kehilangan hak dan pengusaha mendapat keuntungan. Kesemuanya ini berpunca dari pindaan Kanun Tanah Negara. Sekarang apakah dasar yang didukung oleh Umno menepati dengan ajaran Islam seperti yang pernah diamalkan oleh nabi dan para khalifah yang mendukung ajaran Allah.

Syiar Islam

PAS: Menghormati hukum Islam termasuk juga syiarnya. Oleh itu PAS terus memperjuangkan hukum Islam dan keutuhan syiarnya. Dalam hubungan ini PAS terus menentang apa saja perbuatan yang menggugat dan mencemari syiar Islam. PAS tidak dapat bertolak ansur atas apa alasan sekalipun setiap perbuatan yang boleh mencemarkan syiar Islam.

Umno: Bukan sahaja tidak menghormati hukum Islam bahkan mencemarinya.

Program Kenduri Rakyat

0 comments | Read more...
KENDURI RAKYAT
Makan Malam bersama YB Tuan Guru Dato Seri Hj Abd Hadi Awang
Tempat : Kg Batu, Rembau
Tarikh : 19 Feb 2012 , AHAD
Masa : 8 mlm
Percuma - Semua dijemput hadir
Hubungi Hassan 019-2171942

KULIAH DHUHA
Tempat : PASTI Al-Wildan, Seremban (sebelah Masjid Ampangan)
Bersama YB Tuan Guru Dato Seri Hj Abd Hadi Awang
Tarikh : 19 Feb 2012 , AHAD
Masa : 7.45 pagi

CERAMAH PERDANA
Tarikh : 19 Feb 2012 , AHAD
Masa : 9 mlm
Tempat : Kg Tengah, Batu 8, Jalan Labu, Labu, N.Sembilan (Rumah Pak Itam)
Penceramah :
YB Tuan Guru Dato Seri Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS
YB Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR Pusat - Ahli Parlimen Ampang
YB Hj Taufek Abd Ghani, Pesuruhjaya PAS N.Sembilan
Dato Kamarul Baharin Abas, Ketua PKR N.Sembilan - Ahli Parlimen Telok Kemang
YB Loke Siew Fook, Pengerusi DAP N.Sembilan - Ahli Parlimen Rasah/ADUN Lobak

Jom Ubah dekatkan anak muda dengan PAS

0 comments | Read more...

Jom Ubah dekatkan anak muda dengan PAS



JASIN, 14 Feb: Dewan Pemuda PAS (DPP) Melaka telah menjayakan program Jelajah Orang Muda dengan jayanya dengan tema Orang Muda Jom Ubah di Dun Merlimau, kelmarin.

Ketua penerangannya, Muhamad Aizat Bahrudin berkata, program itu merupakan program yang dirancang oleh DPP Malaysia dan digerakkan oleh Dewan Pemuda PAS negeri sebagai mesej khusus kepada golongan muda yang menjadi agen perubahan kepada lanskap politik Melaka.

Program yang di rasmikan oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hasan Tantawi itu turut dihadiri beberapa pimpinan Pemuda Pusat seperti Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Pengarah Pilihanraya, Sany Hamzan dan beberapa AJK.

“Program ini dilaksanakan sepanjang hari sehingga malam dimulai dengan kuliah subuh sehingga ke konsert anak muda pada sebelah malamnya.

“Pelbagai aktiviti yang di laksanakan seperti program sukan bersama anak muda, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, program berbentuk kebajikan seperti ziarah kebajikan ke rumah orang miskin dan ziarah medik,” katanya.

Selain itu, ujarnya program mendekati masyarakat seperti 'Sarapan Rakyat', aktiviti membaiki rumah, dan program penerangan seperti program 'Hit & Run' dan edaran risalah turut dilakukan di sekitar bandar Merlimau.

“Program ini mendapat respons yang begitu baik dari anak muda melalui kehadiran mereka yang ramai di konsert pada malamnya yang menjadi acara kemuncak kepada program Jelajah Orang Muda ini,” ujarnya.

Justeru, kata beliau Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka berharap agar program bersama anak muda seperti itu dapat diteruskan sepanjang masa kerana ianya sedikit sebanyak dapat memberi ruang kepada anak muda mencuba sesuatu hiburan alternatif yang sihat.

Beliau menambah, ianya juga sebagai menyahut hasrat Ketua Pemuda Pusat agar Pemuda PAS selaku sayap sebuah parti politik untuk tidak mengabaikan anak-anak muda selain dapat memberikan kefahaman kepada mereka kenapa wajar bersama PAS dan secara langsung mendekatkan anak muda dengan PAS.

BN matikan minat rakyat jadi pengundi

0 comments | Read more...
KUALA LUMPUR, 14 Feb: Kerajaan BN bertanggungjawab di atas kegagalan 3.7 juta rakyat Malaysia yang tidak mendaftar sebagai pengundi yang mana 2 juta ialah Melayu Bumiputera.
60 peratus daripada jumlah itu adalah mereka berusia bawah 40 tahun.
“Fenomena ini amat merbahaya kepada hala tuju negara pada masa hadapan,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) kepada Harakahdaily.

Katanya, pemimpin BN telah mematikan minat politik di kalangan rakyat di negara ini untuk menjadi pengundi.
Beliau berkata, budaya takut disuburkan di dalam masyarakat sehingga rakyat lebih suka menjadi pemerhati sahaja daripada menangung risiko.
Tambahnya, ceramah dan pendedahan isu semasa yang membangkitkan kesedaran rakyat untuk berpolitik cuba dihalang.

Katanya, faktor tekanan hidup yang memaksa rakyat hanya bersikap untuk mencari keperluan hidup dahulu sehingga mereka tidak memperdulikan soal daftar pemilih.
Menurutnya lagi, mereka bertungkus lumus bekerja siang malam untuk survival keluarga akibat kenaikan harga barang.

Begitu juga, ujarnya program yang dihidangkan kepada rakyat terutama generasi muda yang tidak membangunkan minda kesedaran berpolitik.
“Ia lebih kepada program khayalan dan tidak membangunkan intelektual, walau pun pada asalnya ia bertujuan supaya remaja khayal dan tidak mempedulikan soal rasuah, ketirisan, pembaziran yang dilakukan oleh pemimpin BN,” ujarnya.
Akibatnya, kata beliau ia telah menjadi senjata makan tuan, sehingga ramai remaja tidak mendaftar.

“Berapa banyak pelajar yang belajar di universiti yang tidak memperdulikan politik kampus dan tidak turun mengundi,” katanya.
Katanya, mereka tidak mempedulikan apa yang berlaku di dalam kampus, malahan terpaksa pihak Hal Ehwal Pelajar mewajibkan pelajar turun mengundi.
“Semua ini gara-gara pemimpin BN hanya menyuruh pelajar menumpukan kepada pelajaran, tanpa mempedulikan apa yang berlaku sekeliling mereka, akhirnya perkara ini terbawa-bawa pula ketika mereka keluar daripada universiti sehingga tidak memperdulikan soal daftar pemilih,” katanya.

Beli undi sudah bermula

0 comments | Read more...

Beli undi sudah bermula

Subky Latif, 26 Feb 2012
 DI BAWAH Perdana-Perdana Menteri yang lalu membeli undi yakni rasuah politik berlaku semasa kempen pilihan raya, sesudah penamaan  calon.


Yang turun membeli undi itu ialah  penyokong-penyokong kuat calon.

Banyak mana pengundi dibayar bergantung kepada budi bicara kaki beli undi itu sendiri. Yang diberi lazimnya tidak sebesar yang diperuntukkan parti dan  calon.

Kalau yang peruntukkan itu RM40, biasanya RM25 atau RM30 saja yang diberi. Lebihnya masuk poket tukang beli undi.

Baik ia diberi berterangan mahu pun secara sulit, ia dibuat di luar urusan kerajaan. Pandai-pandailah Perdana Menteri mencari duit yang hendak diagih itu.

Tetapi PRU yang hendak diadakan di bawah Perdana Menteri Najib ini, pembelian undi sudah dimulakan lama sebelum pembubaran Parlimen dan DUN-DUN. Dari duit kerajaan. Dimasukkan dalam bajet negara.

Atas nama membantu ketua keluarga yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan diberi RM500 seorang. Setakat ini untuk sekali ini saja.

Tahun akan datang, tidak diketahui, kerana Perdana Menteri Najib pun tidak tahu dia jadi Perdana Menetri lagi atau tidak selepas pilihan ini jika pilihan raya diadakan tahun ini.

Kalau PRU13 diadakan tahun 2013, mungkin bajetnya akan memperuntukkannya sekali lagi.

Beli undi dulu dibuat terhadap pengundi yang berdaftar saja. Orang yang ada dalam daftar pengundi saja yang didatangi kaki beli undi tidak kira pendapatan bulanan kurang dari yang sepatutnya atau tidak.

Bagi pengundi yang berduit, jika ditawarkan sikit, duit mereka banyak. Tak padan dengan duit yang banyak itu. Maka harganya sesuai dengan keadaannya.

Tetapi Perdana Menteri Najib ini cerdik orang. Dr. Mahathir dulu dikira cukup cerdik orangnya.  Najib lebih cerdik.

Beli undi dengan tidak disedari termasuk dalam peruntukan kerajaan, dikira halal, dilaksanakan sebelum pembubaran Parlimen.

Secara rasmi pembayaran itu diadakan dalam majlis rasmi oleh orang-orang penting parti yang diadakan atas nama kerajaan.

Ia ada borang. Tentulah borang yang disediakan oleh kerajaan. Tetapi borang itu payah didapati dari jabatan kerajaan. Ia lebih senang didapati dari orang UMNO. Merekalah yang mengadihkannya.

Apabila orang UMNO yang mengedarkan borang, orang bukan UMNO kena jumpa ejen-ejen UMNO untuk mendapatkannya. Mana yang marahkan borang itu mudah didapati dari UMNO, tak mahu pergi minta borang itu. Tak dapatlah mereka.

Tetapi ramai juga yang tak sukakan UMNO itu hadir ke majlis penyampaian duit itu. Mereka terpaksalah mendengar kempen mengapa mereka mesti mengundi calon BN. Bukan sekadar membodek BN dan Perdana Menteri, kempen mestilah memburukkan lawan. Habis pembangkang digodam semahu-mahunya.

Kempen  penyokong kerajaan biasanya tiada yang hendak mendengar.  Kerana majlis  itu hendak menyampai 500 ringgit kepada orang yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan  penuhlah majlis itu. Bila mereka balik, mereka bercerita, di samping mengambil duit, mereka mendengar kempen UMNO.

Saya singgah minum kopi di gerai di Hutan Melintang. Orang di situ memberitahu, Menteri Zahid sendiri menyampaikan duit itu. Ramai orang datang. Khemah majlis itu saja RM70,000.
Kata mereka Zahid tidak mengata apa-apa pada pembangkang. Diberitahunya, terserah kepada semua parti apa mereka nak masuk. Mereka bebas. Cuma dalam pilihanraya undi beri kepadanya dan dua lagi calon BN bagi dua DUN di kawasan Bagan Datoh.

Saya kata pada mereka, Zahid cerdik macam Perdana Menterinya juga.

Tok Guru Mursyidul Am  tidak kata banyak tentang duit itu. Beliau suruh sekalian ambil duit itu, undi jangan bagi pada mereka.

Apa pun ia boleh dikatakan  satu pembelian undi berterangan dibuat lebih awal. Ia satu permulaan. Ia dikira halal dan berterangan. Mungkin ia seperti deposit dulu. Bila bubar Parlimen nanti ada lain pula.

Apa lagilah selepas penamaan  calon dan menjelang hari mengundi. Ia seperti duit durian runtuh atau untung jerung bila kapal pecah.

Isu Kedah diatasi secara harmoni

0 comments | Read more...

Isu Kedah diatasi secara harmoni

27 Feb 2012
 PAS yakin isu Kedah dapat diatasi secara harmoni melalui ukuhwah Islamiah dan musyawarah.

Melalui beberapa pertemuan dan perbincangan pimpinan, PAS mendapati isu yang dibangkitkan oleh beberapa pihak yang terlibat lebih menjurus kepada maklumat yang kurang jelas dan ada  jalan penyelesaian kepada kemelut yang berlaku.

Sehubungan itu, ahli dan pimpinan di semua peringkat diseru mendapatkan maklumat dari saluran rasmi parti bagi mengetahui perkembangan yang berlaku.

Pelbagai usaha sedang giat dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan parti secara keseluruhannya.

PAS yakin perkara ini dapat ditangani dengan baik, demi kepentingan parti, dan tambahan pula di saat seluruh jentera parti bertungkus lumus membuat persiapan bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13.

Sehubungan itu, semua pihak mestilah bertindak dengan tepat, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelangga. Ketepikan emosi, dan fikirlah dari sudut parti dan bukan sudut peribadi.

Dalam cabaran media baru tanpa kawalan ini, penyebaran maklumat yang tidak sahih serta andaian peribadi tanpa asas jamaah yang kukuh, tidak membantu mengeratkan hubungan dan memperkasakan parti.

Perbezaan pandangan tidak seharusnya merosakkan asas ikatan jamaah. Sebarang tindakan mestilah berada dalam ruang lingkup pemikiran jamaah.

Tuan Ibrahim Tuan Man,
Ketua Penerangan PAS Pusat
27 Februari 2012

KAMI, Sakmongkol dan ISA

0 comments | Read more...

KAMI, Sakmongkol dan ISA

Ahmad Lutfi Othman, 27 Feb 2012
 Wacana PRU13 yang dianjurkan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), 18 Februari lalu, di Hotel Midah, Kuala Lumpur, merakamkan keprihatinan, sekali gus kebimbangan, terhadap persiapan dan persediaan Pakatan Rakyat, khususnya PAS, berdepan pilihan raya paling signifikan dalam sejarah negara ini.

Lebih ekstrim lagi, ada yang mempersoalkan, apakah tajuk yang dipilih penganjur, "Peranan Kritikal dan Strategik PAS Menjayakan Road Map Pakatan ke Putrajaya", masih relevan memandangkan tindakan agresif Dato' Seri Najib Razak berkempen, turun padang dan menawarkan rakyat pelbagai insentif "one off".

"Mungkin lebih baik difokuskan strategi untuk mempertahankan negeri-negeri Pakatan yang ada daripada menjangkau impian yang terlalu besar. Saya bimbang road map ke Putrajaya akan menjadi harapan palsu," kata Ghazali Mayudin, bekas pensyarah sains politik yang diundang sebagai penalis bersama Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.

Saya tidak terperanjat dengan ingatan ikhlas bekas guru saya itu. Sewajarnya elemen "syok sendiri" tidak membatasi penggerak PAS daripada terus berikhtiar dan mencari formula mengatasi kelemahan yang ada.

Malah tujuan KAMI menghimpunkan lebih 40 aktivis pelbagai latar belakang itu didorong oleh kesedaran tinggi --  masih banyak ruang untuk meningkatkan keupayaan Pakatan bagi meyakinkan rakyat bahawa mereka bukan sahaja mempunyai pilihan lain dalam PRU13, bahkan pilihan itu lebih jauh lebih baik berbanding Umno-BN.

Melalui siri wawancara eksklusif saya dengannya, dan wacana pada 3 Disember 2011, di Shah Village Hotel, Petaling Jaya, bertajuk  "PRU13: Malaysia Ke Arah Negara Berintegriti", Mat Sabu  begitu prihatin dengan kewibawaan semua komponen parti dan para pemimpin Pakatan.

Beliau memandang serius aspek integriti, ketelusan dan keterbukaan, yang perlu dipamerkan oleh aksi dan teladan kerajaan negeri Pakatan. Katanya, kerosakan Umno-BN tidak dapat dibaiki lagi dan amarah rakyat sukar dibendung. Gabungan parti yang memerintah sejak merdeka itu akan jatuh.

Soalnya, kata Mat Sabu, rakyat sedang menilai dengan cermat prestasi pemerintahan Pakatan, khususnya penampilan pemimpin dan wakil rakyatnya. Mereka mahu diyakinkan bahawa kerajaan alternatif akan membawa pengisian jauh lebih baik, bukan sahaja membasmi elemen korupsi tetapi juga  mampu mengangkat martabat rakyat.

Dalam sesi perbincangan pagi 18 Feb itu, Mat Sabu masih menekankan aspek integriti dan keadilan sosial yang ditawarkan Pakatan. Sebagai tokoh no. 2 PAS tentulah beliau lebih senang merujuk situasi dalam partinya sendiri -- dengan segala kelemahan dan kelebihan yang ada.

Beberapa peserta wacana membangkitkan soal tarikh PRU13 dan mengaitkannya dengan tempoh singkat untuk mengubah persepsi pengundi, terutama masyarakat Melayu, yang sebahagian besarnya dijangka akan mengekalkan BN sebagai pemerintah.

Seperti ditekankan berulangkali, tanpa penyertaan majoriti orang Melayu dalam gelombang perubahan, maka impian untuk melihat Malaysia yang bersih daripada rasuah, penindasan, dan salahguna kuasa sukar dicapai.

Di waktu ramai percaya bahawa  semakin tinggi peratusan masyarakat Cina akan mengundi Pakatan Rakyat -- ada meramalkan sehingga 85 peratus -- dalam masa sama, jentera pilihan raya PAS dibebankan amanah lebih besar, agar melipatgandakan lagi usaha mendedahkan dakyah palsu Umno yang masih mempengaruhi pengundi Melayu.

Di awal majlis, saya menjelaskan posisi "strategik tetapi kritikal PAS", di antaranya berpunca daripada faktor demografi kawasan yang bakal ditandingi Parti Islam, berdepan Ummno di kerusi majoriti pengundi Melayu, di kampung-kampung tradisi yang mungkin belum terdedah sepenuhnya dengan politik baru.

Namun begitu, tidak sedikit pengundi Melayu yang sudah jelak dengan kepincangan pemerintahan BN, sekali gus menyedari tingkah laku menjolok mata pemimpin Umno yang bergelumang rasuah, tetapi minda politik mereka masih terkepung dan mudah dipengaruhi dakyah perkauman sempit BTN.

"Selepas Najib menyelesaikan bantahan kakitangan awam terhadap syor awal SBPA (Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam) dan meredakan kontroversi fidlot lembu Shahrizat, Parlimen mungkin akan dibubarkan segera," kata seorang peserta wacana.

Kerisauan itu sebenarnya mudah difahami. Mereka bukannya sangsi dengan keupayaan rakyat untuk menolak kebobrokan Umno, atau merasakan Najib sudah ada lampu aladin untuk menyelamatkan BN yang kian kronik. Cepat atau lambat, era Umno  akan berakhir; penyakit yang dideritainya mustahil disembuhkan lagi.

Peserta wacana sekadar tidak mahu kesempatan terbaik untuk menukar kerajaan -- yang tidak pernah 'terhidang' sebelum ini --  terlepas hanya disebabkan masalah remeh-temeh atau titik-bengik, seperti perselisihan sesama Pakatan atau mengambil ringan persiapan taktikal dan logistik.

"Tiada istilah terlewat, kerana ruang dan peluang luas terbentang. Rakyat sudah bersedia untuk berubah, malah mereka tidak sabar-sabar lagi untuk menghukum BN. Dalam masa singkat tetapi berkesan ini, setiap potensi tidak boleh dibazirkan. Jangan hampakan impian rakyat," bisik seorang rakan.

"Keyakinan itu mesti dibajai, bukan digoyang atau diragui dengan pelbagai karenah negatif di kalangan Pakatan," tegurnya lagi. "Saya setuju pandangan you bahawa parti yang paling kurang melakukan kesilapan akan muncul sebagai pemenang," tambahnya merujuk kolum Catatan Hujung.

Mat Sabu mengakui, mana-mana parti pemerintah yang berkuasa dalam tempoh yang lama seperti Umno, hanya menunggu detik kematian.

"Kita memang sentiasa berasa seperti tidak cukup bersedia, misalnya pada 2008, siapa jangka tsunami politik melanda. Sekarang ketika berceramah, berdasarkan pengalaman lebih 30 tahun, saya dapat rasai riak perubahan yang ketara. Nampak hadirin yang pelbagai, tidak seperti dahulu," ujarnya.


Nada suara bekas Timbalan Presiden KeADILan, Abd Rahman Othman agak menyentak. Beliau mengingatkan, kedudukan PAS memang kritikal apatah lagi misinya adalah untuk memenangi 60 kerusi Parlimen berbanding 80 yang dijangka bertanding.

Sambil menegur prestasi kerajaan negeri Kedah dan Kelantan, yang baginya mampu melonjak lebih tinggi, Abd Rahman mahu PAS mengambil langkah drastik atau bertindak "di luar kotak" dalam PRU13.

"PAS mesti berubah. Dalam waktu singkat dan kritial ini saya tidak nampak  isu lebih besar daripada keberanian untuk kemukakan calon daripada muka-muka baru. Ramai tokoh PAS hari ini merupakan orang lama lebih 30 tahun lalu. Tampilkan calon berwibawa, profesional dan diyakini rakyat. Kalau perlu, fikirkan untuk perkenalkan calon-calon itu lebih awal lagi," katanya.

Saya  tertarik dengan cadangan yang dilontarkan Dr Mohamad Alinor Abd Kadir, bagi memecahkan "kebuntuan" menangani kemelut pengundi Melayu. Katanya, PAs mesti menakluki pengundi Melayu dengan tindakan awal mengubah cara mereka berfikir. Katanya, dalam masa yang singkat sebelum PRU13, PAS, DAP dan KeADILan mesti menghantar penceramah khas dalam setiap ceramah untuk mengubah cara orang Melayu berfikir.

Di majlis berbeda, dalam sesi cakap-cakap Harakah dengan Dato' Mohd Ariff Sabri  Abdul Aziz, bekas Adun Pulau Manis, Pekan (2004-2009), Khamis lalu, kami didedahkan dengan situasi politik yang lebih meyakinkan.

Ariff Sabri, yang lebih dikenali melalui blog Sakmongkol AK47, menceritakan pengalamannya bersama bekas ketuanya, Najib, terutama semasa beliau menjadi Ketua Penerangan Umno Pekan.

Gambaran yang dipaparkan dalam pertemuan sejam setengah itu cukup menarik. Meskipun memilih DAP sebagai wadah barunya, Ariff Sabri komited dengan misi perubahan yang didambakan rakyat.


Baginya, Najib bukanlah seorang tokoh pembaharu yang dapat menyelamatkan Umno, sebaliknya hanya bergantung dengan rasuah untuk membeli sokongan, termasuk untuk "menjaga pemimpin dan ahli-ahli Umno Bahagian Pekan".

"Najib ini tiada wawasan, dia ini mentadbir dan urus negara macam urus Umno Bahagian Pekan," tambahnya.

Mengakui agak rapat dengan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, terutama selepas melancarkan blognya, Ariff Sabri mendapat maklumat bahawa hanya tiga negeri yang agak selamat buat Umno, iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

"Dan BN mungkin kalah lebih 20 kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dalam PRU13 nanti," katanya, merujuk satu sumber kajian pemimpin Umno sendiri.

"Zaman membeli undi seperti yang dilakukan Najib, sehingga terjelma dalam pentadbiran kerajaan BN, sudah berlalu. Veteran terkemuka Umno sendiri mengakui hakikat ini. Rakyat lebih prihatin ke mana pemimpin politik nak bawa negara ini, itu yang ditanya mereka, bukannya duit dua tiga ratus yang disogok," tegas Ariff Sabri yang nampak yakin pengundi Melayu juga turut berubah sekiranya maklumat sahih disampaikan kepada mereka.

Dalam pada itu, saya yang turut ke kompleks mahkamah, Jalan Duta, Rabu lalu, terkedu mendengar hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen ke atas aktivis Himpunan Mansuh ISA, 1 Ogos 2009.

Ketika Najib berbangga dengan apa yang didakwanya sebagai tranformasi politik memansuhkan akta zalim itu pada malam Hari Malaysia tahun lalu, hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 memberi mesej berbeza.

Seorang yang selalu menghubungi saya melalui telefon, Mak Cik Kedah tidak mahu mengulas panjang hipokrasi itu, sebaliknya membaca serangkap pantun. Kebetulan saya sedang memandu ketika itu, lantas memintanya SMS sahaja: "Bujang Senang Sungai Sarawak, berenang berendam di kala senja; lidah bercabang mengalah biawak, indah khabar dari rupa."

Sokong Page

Kolum Harakahdaly

Sokong Page

Aduan Rakyat 1

Sokong Page

Aduan rakyat 2