KAMI, Sakmongkol dan ISA

KAMI, Sakmongkol dan ISA

Ahmad Lutfi Othman, 27 Feb 2012
 Wacana PRU13 yang dianjurkan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), 18 Februari lalu, di Hotel Midah, Kuala Lumpur, merakamkan keprihatinan, sekali gus kebimbangan, terhadap persiapan dan persediaan Pakatan Rakyat, khususnya PAS, berdepan pilihan raya paling signifikan dalam sejarah negara ini.

Lebih ekstrim lagi, ada yang mempersoalkan, apakah tajuk yang dipilih penganjur, "Peranan Kritikal dan Strategik PAS Menjayakan Road Map Pakatan ke Putrajaya", masih relevan memandangkan tindakan agresif Dato' Seri Najib Razak berkempen, turun padang dan menawarkan rakyat pelbagai insentif "one off".

"Mungkin lebih baik difokuskan strategi untuk mempertahankan negeri-negeri Pakatan yang ada daripada menjangkau impian yang terlalu besar. Saya bimbang road map ke Putrajaya akan menjadi harapan palsu," kata Ghazali Mayudin, bekas pensyarah sains politik yang diundang sebagai penalis bersama Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.

Saya tidak terperanjat dengan ingatan ikhlas bekas guru saya itu. Sewajarnya elemen "syok sendiri" tidak membatasi penggerak PAS daripada terus berikhtiar dan mencari formula mengatasi kelemahan yang ada.

Malah tujuan KAMI menghimpunkan lebih 40 aktivis pelbagai latar belakang itu didorong oleh kesedaran tinggi --  masih banyak ruang untuk meningkatkan keupayaan Pakatan bagi meyakinkan rakyat bahawa mereka bukan sahaja mempunyai pilihan lain dalam PRU13, bahkan pilihan itu lebih jauh lebih baik berbanding Umno-BN.

Melalui siri wawancara eksklusif saya dengannya, dan wacana pada 3 Disember 2011, di Shah Village Hotel, Petaling Jaya, bertajuk  "PRU13: Malaysia Ke Arah Negara Berintegriti", Mat Sabu  begitu prihatin dengan kewibawaan semua komponen parti dan para pemimpin Pakatan.

Beliau memandang serius aspek integriti, ketelusan dan keterbukaan, yang perlu dipamerkan oleh aksi dan teladan kerajaan negeri Pakatan. Katanya, kerosakan Umno-BN tidak dapat dibaiki lagi dan amarah rakyat sukar dibendung. Gabungan parti yang memerintah sejak merdeka itu akan jatuh.

Soalnya, kata Mat Sabu, rakyat sedang menilai dengan cermat prestasi pemerintahan Pakatan, khususnya penampilan pemimpin dan wakil rakyatnya. Mereka mahu diyakinkan bahawa kerajaan alternatif akan membawa pengisian jauh lebih baik, bukan sahaja membasmi elemen korupsi tetapi juga  mampu mengangkat martabat rakyat.

Dalam sesi perbincangan pagi 18 Feb itu, Mat Sabu masih menekankan aspek integriti dan keadilan sosial yang ditawarkan Pakatan. Sebagai tokoh no. 2 PAS tentulah beliau lebih senang merujuk situasi dalam partinya sendiri -- dengan segala kelemahan dan kelebihan yang ada.

Beberapa peserta wacana membangkitkan soal tarikh PRU13 dan mengaitkannya dengan tempoh singkat untuk mengubah persepsi pengundi, terutama masyarakat Melayu, yang sebahagian besarnya dijangka akan mengekalkan BN sebagai pemerintah.

Seperti ditekankan berulangkali, tanpa penyertaan majoriti orang Melayu dalam gelombang perubahan, maka impian untuk melihat Malaysia yang bersih daripada rasuah, penindasan, dan salahguna kuasa sukar dicapai.

Di waktu ramai percaya bahawa  semakin tinggi peratusan masyarakat Cina akan mengundi Pakatan Rakyat -- ada meramalkan sehingga 85 peratus -- dalam masa sama, jentera pilihan raya PAS dibebankan amanah lebih besar, agar melipatgandakan lagi usaha mendedahkan dakyah palsu Umno yang masih mempengaruhi pengundi Melayu.

Di awal majlis, saya menjelaskan posisi "strategik tetapi kritikal PAS", di antaranya berpunca daripada faktor demografi kawasan yang bakal ditandingi Parti Islam, berdepan Ummno di kerusi majoriti pengundi Melayu, di kampung-kampung tradisi yang mungkin belum terdedah sepenuhnya dengan politik baru.

Namun begitu, tidak sedikit pengundi Melayu yang sudah jelak dengan kepincangan pemerintahan BN, sekali gus menyedari tingkah laku menjolok mata pemimpin Umno yang bergelumang rasuah, tetapi minda politik mereka masih terkepung dan mudah dipengaruhi dakyah perkauman sempit BTN.

"Selepas Najib menyelesaikan bantahan kakitangan awam terhadap syor awal SBPA (Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam) dan meredakan kontroversi fidlot lembu Shahrizat, Parlimen mungkin akan dibubarkan segera," kata seorang peserta wacana.

Kerisauan itu sebenarnya mudah difahami. Mereka bukannya sangsi dengan keupayaan rakyat untuk menolak kebobrokan Umno, atau merasakan Najib sudah ada lampu aladin untuk menyelamatkan BN yang kian kronik. Cepat atau lambat, era Umno  akan berakhir; penyakit yang dideritainya mustahil disembuhkan lagi.

Peserta wacana sekadar tidak mahu kesempatan terbaik untuk menukar kerajaan -- yang tidak pernah 'terhidang' sebelum ini --  terlepas hanya disebabkan masalah remeh-temeh atau titik-bengik, seperti perselisihan sesama Pakatan atau mengambil ringan persiapan taktikal dan logistik.

"Tiada istilah terlewat, kerana ruang dan peluang luas terbentang. Rakyat sudah bersedia untuk berubah, malah mereka tidak sabar-sabar lagi untuk menghukum BN. Dalam masa singkat tetapi berkesan ini, setiap potensi tidak boleh dibazirkan. Jangan hampakan impian rakyat," bisik seorang rakan.

"Keyakinan itu mesti dibajai, bukan digoyang atau diragui dengan pelbagai karenah negatif di kalangan Pakatan," tegurnya lagi. "Saya setuju pandangan you bahawa parti yang paling kurang melakukan kesilapan akan muncul sebagai pemenang," tambahnya merujuk kolum Catatan Hujung.

Mat Sabu mengakui, mana-mana parti pemerintah yang berkuasa dalam tempoh yang lama seperti Umno, hanya menunggu detik kematian.

"Kita memang sentiasa berasa seperti tidak cukup bersedia, misalnya pada 2008, siapa jangka tsunami politik melanda. Sekarang ketika berceramah, berdasarkan pengalaman lebih 30 tahun, saya dapat rasai riak perubahan yang ketara. Nampak hadirin yang pelbagai, tidak seperti dahulu," ujarnya.


Nada suara bekas Timbalan Presiden KeADILan, Abd Rahman Othman agak menyentak. Beliau mengingatkan, kedudukan PAS memang kritikal apatah lagi misinya adalah untuk memenangi 60 kerusi Parlimen berbanding 80 yang dijangka bertanding.

Sambil menegur prestasi kerajaan negeri Kedah dan Kelantan, yang baginya mampu melonjak lebih tinggi, Abd Rahman mahu PAS mengambil langkah drastik atau bertindak "di luar kotak" dalam PRU13.

"PAS mesti berubah. Dalam waktu singkat dan kritial ini saya tidak nampak  isu lebih besar daripada keberanian untuk kemukakan calon daripada muka-muka baru. Ramai tokoh PAS hari ini merupakan orang lama lebih 30 tahun lalu. Tampilkan calon berwibawa, profesional dan diyakini rakyat. Kalau perlu, fikirkan untuk perkenalkan calon-calon itu lebih awal lagi," katanya.

Saya  tertarik dengan cadangan yang dilontarkan Dr Mohamad Alinor Abd Kadir, bagi memecahkan "kebuntuan" menangani kemelut pengundi Melayu. Katanya, PAs mesti menakluki pengundi Melayu dengan tindakan awal mengubah cara mereka berfikir. Katanya, dalam masa yang singkat sebelum PRU13, PAS, DAP dan KeADILan mesti menghantar penceramah khas dalam setiap ceramah untuk mengubah cara orang Melayu berfikir.

Di majlis berbeda, dalam sesi cakap-cakap Harakah dengan Dato' Mohd Ariff Sabri  Abdul Aziz, bekas Adun Pulau Manis, Pekan (2004-2009), Khamis lalu, kami didedahkan dengan situasi politik yang lebih meyakinkan.

Ariff Sabri, yang lebih dikenali melalui blog Sakmongkol AK47, menceritakan pengalamannya bersama bekas ketuanya, Najib, terutama semasa beliau menjadi Ketua Penerangan Umno Pekan.

Gambaran yang dipaparkan dalam pertemuan sejam setengah itu cukup menarik. Meskipun memilih DAP sebagai wadah barunya, Ariff Sabri komited dengan misi perubahan yang didambakan rakyat.


Baginya, Najib bukanlah seorang tokoh pembaharu yang dapat menyelamatkan Umno, sebaliknya hanya bergantung dengan rasuah untuk membeli sokongan, termasuk untuk "menjaga pemimpin dan ahli-ahli Umno Bahagian Pekan".

"Najib ini tiada wawasan, dia ini mentadbir dan urus negara macam urus Umno Bahagian Pekan," tambahnya.

Mengakui agak rapat dengan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, terutama selepas melancarkan blognya, Ariff Sabri mendapat maklumat bahawa hanya tiga negeri yang agak selamat buat Umno, iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

"Dan BN mungkin kalah lebih 20 kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dalam PRU13 nanti," katanya, merujuk satu sumber kajian pemimpin Umno sendiri.

"Zaman membeli undi seperti yang dilakukan Najib, sehingga terjelma dalam pentadbiran kerajaan BN, sudah berlalu. Veteran terkemuka Umno sendiri mengakui hakikat ini. Rakyat lebih prihatin ke mana pemimpin politik nak bawa negara ini, itu yang ditanya mereka, bukannya duit dua tiga ratus yang disogok," tegas Ariff Sabri yang nampak yakin pengundi Melayu juga turut berubah sekiranya maklumat sahih disampaikan kepada mereka.

Dalam pada itu, saya yang turut ke kompleks mahkamah, Jalan Duta, Rabu lalu, terkedu mendengar hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen ke atas aktivis Himpunan Mansuh ISA, 1 Ogos 2009.

Ketika Najib berbangga dengan apa yang didakwanya sebagai tranformasi politik memansuhkan akta zalim itu pada malam Hari Malaysia tahun lalu, hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 memberi mesej berbeza.

Seorang yang selalu menghubungi saya melalui telefon, Mak Cik Kedah tidak mahu mengulas panjang hipokrasi itu, sebaliknya membaca serangkap pantun. Kebetulan saya sedang memandu ketika itu, lantas memintanya SMS sahaja: "Bujang Senang Sungai Sarawak, berenang berendam di kala senja; lidah bercabang mengalah biawak, indah khabar dari rupa."

0 comments:

Post a Comment

Sokong Page

Kolum Harakahdaly

Sokong Page

Aduan Rakyat 1

Sokong Page

Aduan rakyat 2